Cukai Pintu Bertentangan Dengan Syariat: Ulamak Azhar

Posted by UstazRosli Isnin, 18 Januari 2010, under | 0 ulasan |


Ahli Majlis Majma' Buhus di al Azhar sepakat mengatakan cukai pintu yang bakal dikenakan kepada rakyat Mesir adalah sejenis cukai yang bertentangan dengan syariat Islam.

Dr Muhammad Mokhtar Mehdi salah seorang ahli Majma' Buhus menerangkan, antara sebab ianya bertentangan dengan syariat ialah:

1- Keperluan asasi: antara perkara yang tidak dikenakan cukai ialah keperluan asasi rakyat seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian.

2-Bukan Komersial: Tempat tinggal atau rumah persendirian yang didiami oleh pemiliknya tidak digunakan untuk menjana pendapatan dan keuntungan maka ianya tidak boleh dikenakan cukai.

Dr Mehdi menjelaskan lagi bahawa cukai dalam Islam diambil dengan kadar yang sangat minima dan dalam aktiviti yang mendatangkan keuntungan.
Syeikh Fauzi Zafzaf yang juga salah seorang ahli Majma' Buhus al Azhar menjelaskan:
Cukai pintu menzalimi pemilik rumah walaupun dia mendapat pendapatan daripada rumahnya, ini kerana pemilik rumah telah dikenakan cukai pendapatan, jika cukai pintu dikenakan, maka pemilik akan dibebani dengan dua cukai terhadap satu pendapatan.

Para ulamak Majma' Buhus al Azhar yang beribu pejabat di Kuwait sepakat mengatakan cukai pintu merupakan pencerobohan terhadap harta orang ramai dan balasannya ialah azab Allah...

Namun demikian sehingga kini masih belum ada resolusi resmi yang dikeluarkan oleh Majma' Buhus dan al Azhar sebenarnya tidak berniat untuk membincangkan isu ini dalam suasana kerajaan Mesir sedang mengkaji untuk mengenakan cukai pintu kepada rumah yang dimiliki oleh rakyatnya.
Sumber:
http://benmokhtar.blogspot.com

Pandangan anda dihargai

Budaya Bertaqlid dan Bermazhab di Malaysia:

Posted by Buletin Syariah Selasa, 21 Julai 2009, under | 0 ulasan |

Muqadimah

Perkataan taqlid dan perkataan mazhab adalah dua perkataan yang saling berkait rapat. Taqlid berasal dari perkataan Qa’lada- Yuqa’lidu-Taqlidan. Ianya bermaksud mengikut. Dalam istilah syarak pula Taqlid bermaksud mengikut sesuatu pendapat tanpa berdasarkan hujah dan dalil.

Perkataan Mazhab pula berasal dari perkataan Zahaba sebagai kata dasar dan ianya bermaksud tempat. Perkataan ini juga membawa maksud pergi. Dalam istilah ulamak, mazhab bermakna: Hukum ijtihadiah yang telah diistinbatkan oleh ulamak mujtahidin berdasarkan dalil-dalil syarak yang bersifat zanni.

Mazhab di Zaman Rasulullah s.a.w.
Islam agama suci yang diturunkan Allah untuk sekelian makhluk. Kedatangan ajaran ini dikepalai oleh Rasulullah s.a.w. Baginda merupakan ikutan yang menghayati Islam dengan kata-kata dan perbuatan. Sewaktu baginda masih hidup baginda dikelilingi oleh para sahabat yang menjunjung tinggi setiap apa yang diajukan oleh baginda.

Kehidupan baginda ditengah-tengah para sahabat membuatkan mereka dengan mudah mempelajari segala bentuk pangajaran yang mahu disampaikan oleh baginda. Tambahan lagi ayat-ayat quran diturunkan bagi memenuhi keperluan semasa masyarakat sahabat. Quran menjawab banyak perkara yang dipersoalkan oleh para sahabat.

Bahasa quran yang sememangnya merupakan bahasa ibunda kaum Arab membuatkan mereka amat memahami ibarat dan susunannya dengan begitu mendalam. Mereka tidak perlu memasuki sebarang pelajaran bahasa atau kelas pengukuhan. Tambahan pula zaman itu merupakan kemuncak peradaban kesusasteraan Arab. Orang-orang Arab ketika itu berbangga dengan keindahan bahasa dan kelunakan puisi mereka.

Dalam susana itulah quran diturunkan dan hadis diucapkan. Segala perbuatan Rasulullah s.a.w. pula dirakamkan dengan hafalan dari para sahabat baginda. Sebenarnya usaha untuk menghafal bukanlah terlalu sukar bagi orang-orang Arab krtika itu. Sebenarnya mereka telah biasa menghafal syair-syair yang panjang. Perkara itu telah menjadi sebahagian kehidupan mereka.

Bangsa Arab juga hidup dalam suasana fitrah, mereka mempunyai kecenderungan yang paling hampir dengan tabiat kemanusiaan. Bukti kesucian fitrah mereka ialah mereka tidak memakan sesuatu yang disifatkan keji oleh sifat semulajadi manusia. Tidak berlaku perkahwinan sesama mahram didalam kaum Arab, sedangkan fenomena itu tersebar dalam masyarakat lain ketika itu.

Keadaan ini menyebabkan mereka menjadi kelompok yang paling sesuai membawa risalah agama yang bersifat universal ini. Dalam masa yang singkat sahaja mereka dapat memahami ajaran agama yang diturunkan dan menjadi pejungnya yang setia.

Sewaktu Rasulullah masih hidup, segala permasaalahan diajukan kepada baginda untuk diseesaikan. Apabila para sahabat menghadapi sebarang kemuskilan, mereka akan terus mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar baginda. Baginda akan memberikan keputusan atau menunggu turunnya wahyu yang akan memberikan kepada mereka kata putus.

Dalam beberapa keadaan lain pula,nabi s.a.w. membiarkan para sahabat berijtihad sendiri dalam perkara yang tiada disebut dalam quran. Apabila mereka datang berjumpa nabi bagi mengetahui keputusan yang tepat, kadangkala nabi s.a.w tidak memberikan jawapan, sebaliknya baginda membiarkan soalan tersebut tanpa sebarang jawapan.


Keadaa ini sebenarnya bertujuan bagi mengajar para sahabat menggunakan kemahiran menyelesaikan masaalah kerana merekalah bakal pewaris risalah suci Islam itu. Bahkan nabi s.a.w. sendiri juga berijtihad. Baginda berijtihad apabila keadaan yang dihadapi tidak terdapat penyelesaiannya secara langsung didalam alquran, sambil menunggu pemeritahuan dari Allah, beliau berijtihad.

Dalam beberapa keadaan ijtihad baginda ditegur oleh Allah. Keadaan ini tidak mencacatkan kenabian kerana ianya sebagai satu pendidikan bukan sahaja kepada nabi, tetapi juga kepada para sahabat yang melihat dan mememerhatikan setiap perkara yang berlaku keatas baginda s.a.w.


Mazhab di Zaman Sahabat

Kerana faham dengan situasi itu tadi, para sahabat tidak merasa serba salah untuk berijtihad dalam menyelesaikan masaalah yang dihadapi oleh mereka ketika mereka berjauhan dari baginda s.a.w. Apabila baginda s.a.w. wafat, para sahabat meneruskan pengamalan ijtihad bagi menyelesaikan masaalah semasa yang dihadapi.

Setiap orang sahabat yang mempunyai kemahiran akan berijtihad dengan ilmu yang mereka miliki dalam merungkaikan persoalan yang dihadapi. Keadaan ini terus wujud dengan begitu bebas. Mereka sedar dengan keanjalan dan keluasan Islam.

Antara contoh jiwa tasamuh antara mereka ialah mereka tidak menyalahkan salah satu sama lain jika terdapat perbezaan sewaktu berijtihad. Antara yang menarik ialah dikalangan sahabat yang agak berbeza pendapat dan ijtihad mereka ialah Ibnu Umar dan Ibnu Abas.

Terpancar sikap toleransi mereka apabila mereka tidak berkelahi dalam ruang khilafiah walaupun pendapat dan ijtihad mereka jauh berbeza. Ibnu Abas menganggap semua binatang halal dimakan kecuali khinzir. Pendapat itu walaupun tidak diterima oleh kebanyakan sahabat tetapi tidak dibalas dengan maki hamun dan usaha memburukkan beliau. Sebaliknya persaudaraan Islam tidak sedikit pun tergugat dengan perselisihan itu.


Ijtihad Selepas Zaman Sahabat

Setelah zaman sahabat berlalu, generasi tabin menggantikan mereka dengan budaya yang sama. Bezanya ialah keluasan negara semakin bertambah dan semakin banyak permasaalahan yang dihadapi memerlukan ijtihad. Ini kerana situasi setiap tempat dan keadaan yang dihadiapi amat berbeza. Mereka terus berijtihad tetapi zaman ini menyaksikan penambahan sumber ijtihad. Ini kerana pemikiran dan kajian juga semakin melebar bidangnya.

Jika dizaman sahabat sumber ijtihad tertumpu kepada quran, sunnah dan qias. Zaman tabin menyaksiakn penggunaan akal yang lebih luas. Mereka juga mengenali tempat, kaum dan cara hidup yang berbeza dari bangsa Arab. Oleh itu mereka juga menggunakan uruf dn sebagainya.

Zaman terus berlalu dan generasi tabin digantikan pula dengan tabi’ tabin. Keluasan negara Islam semakin ketara. Pendedahan kepada dunia luar juga semakin ketara. Pemikiran yang berbagai aliran dan metod yang berbeza semakin banyak. Kemuncak kepada keadaan ini ialah kurun ketiga hijrah. Dizaman inilah lahirnya para ulamak mujtahidin.

Masyarakat Islam amat terpegun dengan kehebatan ulamak seperti Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad bin Hanbal. Selepas zaman kegemilangan yang diterajui oleh mereka ini, bermulalah zaman kejumudan.

Pada zaman ini, para cendikiawan sudah tidak berijtihad seperti generasi terdahulu. Kekaguman mereka terhadap ulamak-ulamak terdahulu menyebabkan mereka merasakan cukuplah permasaalahan di zaman mereka diselesaikan melalui kitab-kitab yang telah dikarang oleh ulamak terdahulu. Jika mereka mengarang sekalipun, maka karangan mereka akan berkisar disekitar mengulang-ulang kembali apa yang telah digarap oleh para cendikiawan silam.

Dizaman ini mulalah tersebar pemikiran wajib bermazhab dengan mazhab empat. Wajib mengikuti mazhab tertentu dan pemikiran haram mengikut ulamak yang berlainan mazhab, jika berlak,u maka perlu melalui iqrar pertukaran mazhab dan berniat untuk meninggalkannya.

Walaupun demikian ada juga sesetengah ulamak yang cuba membawa pembaharuan dan penggarapan semasa tetapi usaha-usaha mereka itu tidaklah meninggalkan kesan yang besar. Kemuncak kepada keadaan ini ialah kurun ke 10 hijrah apabila ramai dikalangan mereka telah menganggap pintu ijtihad telah tertutup dan segala permasaalahan perlu dilihat hanya dengan merujuk kepada peninggalan generasi silam.



Sejarah Budaya Bermazhab dan Taqlid di Malaysia

Jika keadaan yang diterangkan dalam perenggan sebelum ini membabitkan kebanyakan negara dunia Islam, maka perkara yang serupa juga dialami oleh Malaysia. Namun demikian kajian tentang budaya bertaqlid dan bermazhab di Malaysia amat berkait rapat dengan tarikh kemasukan Islam di Malaysia. Ini kerana amalan bertaqlid dan bermazhab tidak mungkin timbul sebelum kemasukan Islam ke negara ini.

Tarikh sebenar kemasukan Islam ke Malaysia masih menjadi bahan kajian para sarjana. Petunjuk yang didapati hasil kajian baru menguatkan teori kemasukan Islam jauh lebih awal dari seperti yang diketahui umum sebelum ini.

Pendapat yang mengatakan Islam di Malaysia di sebarkan oleh pedagang Gujerat juga telah di tolak oleh sebahagian sarjana. Mereka mengatakan Islam masuk lebih awal dan dipelopori penyebarannya oleh orang-orang Arab.

Kajian terbaru dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Utara Malaysia terhadap undang-undang Kedah mendapati Kedah adalah sebuah negara Islam yang mengamalkan hukum Islam dan kemasukannya adalah seawal kurun ketiga hijrah.

Kajian ini dibuktikan lagi dengan perilaku masyarakat Islam Malaysia yang amat sebati dengan ajaran Islam sehingga tersebarnya perkataan ‘masuk Melayu’ bagi menunjukkan kepada orang yang memeluk Islam.

Samada menerima teori kemasukan Islam melalui pelabuhan Melaka yang dikunjungi oleh orang-orang Gujerat, atau Islam di Malaysia berasal dari tanah besar China atau teori lain, apa yang jelasnya ialah masyarakat Malaysia telah menerima ajaran Islam dalam mazhab Syafie.

Bilakah pengaruh mazhab Syafie mula bertapak di Malaysia adalah tidak diketahui secara tepat. Namun demikian kitab-kitab karangan ulamak Patani dan Indonesia telah diajarkan di puasat-pusat pengajian di Malaysia. Kita-kita ini merujuk kepada mazhab Syafie dan secara lebih khusus ialah aliran pemikiran Nawawi dan Ghazali.

Kitab-kitab ini menjadi rujukan selama beberapa abad di pusat-pusat pengajian Islam yang tersebar di seluruh pelusuk semenanjung. Namun demikian setelah dunia Arab mengalami sedikit pembaharuan, dan lahirnya ulamak yang cuba menggalakkan ijtihad serta kupasan semasa terhadap Islam,maka Malaysia juga mengalami desakan kearah pembaharuan.

Pada dasarnya gelombakan desakan kearah pembaharuan itu berlaku sebanyak tiga kali dan cuba untuk mengajak masyarakat intelek di tanah air untuk melakukan sedikit pembaharuan. Pada tahun 20-30an kumpulan lepasan Arab Saudi balik dengan pengaruh pemikiran Syeih Abdul Wahab, Ibnu Taimiah dan Ibnu Qayim. Sheikh Muhd Tahir bin Jalaluddin al-Azhari adalah antara orang yang cuba membawa perubahan.

Selain dari pemikiran ulamak Saudi, pemikiran Muhammad Abduh dan Rashid Reda juga sampai ke Malaysia. Mereka menyeru supaya diadakan percambahan minda dan beberapa isu seperti isu bid’ah cuba dibangkitkan. Gelombangan ini juga datang dari lepasan India yang mendapat idea daripada pemikiran Waliullah al Dahlawi.

Gelombang kedua menuntut perubahan dan mengkritik pengamalan mazhab Syafie di Malaysia ialah sekitar tahun 40an hingga tahun 60an. Kumpulan ini cuba menghidupkan kembali usaha-usaha yang telah dipelopori oleh akivis sekitar dua dekat yang lalu. Semangat aliran ini agak kuat kerana mereka telah berjaya bertapak di negeri Perlis.

Isu-isu yang ditimbulkan oleh golongan pembaharuan ini walaubagaimanapun hanya berkisar dalam persoalan fekah ibadat dan sedikit pada permasaalahan teori dalam aqidah. Keadaan ini agak merumitkan kerana boleh menimbulkan perpecahan saf orang Islam.

Gelombang ketiga bermula disekitar tahun 70an. Kemunculan kali ini nampaknya lebih kuat kerana bukan sahaja orang-orang yang pulang dari Saudi sahaja telah terkesan dengan aliran ini, namun demikian pelajar bidang bukan agama dan melanjutkan pelajaran ke Eropah juga ramai yang telah terdedah dengan pemikiran pembaharuan ini.

Desakan kumpulan ini juga makin kuat keranan aliran ini mula mengukuh diperingkat antarabangsa. Tambahan lagi, negara Saudi menaungi segala aktiviti mereka dan negara-negara Islam lain seolah-olah tidak dapat untuk menyekat perkembangan ini kerana faktor pengaruh negara Arab Saudi.




Faktor-faktor Pembaharuan

Dalam kehidupan masyarakat Islam Malaysia moden, pengamalan Islam sedaya-upaya diperjuangkan untuk dimartabatkan dalam segala aspek kehidupan. Penerimaan Kerajaan Malaysia era kepimpinan Mahathir Muhammad terhadap penerapan nilai-nilai Islam telah memberi ruang yang amat subur untuk pengamalan Islam yang lebih syumul.

Pengamalan Islam menjadi lebih baik apabila kerajaan menggalakkan sektor kewangan Islam untuk berkembang. Selain itu, Malaysia juga cuba untuk menjadi peneraju kepada pengeluaran produk halal di peringkat antarabangsa. Dengan polisi yang diperkenalkan itu membuatkan penggarapan isu-isu agama di Malaysia telah melebar dan melampawi bidang ibadah sahaja.

Selain itu ianya memberi kesan besar terhadap pemikiran sarjana Islam Malaysia yang sebelum ini berpegang teguh dengan mazhab Syafie. Dalam era sebelum ini, para sarjana begitu teguh dengan perinsip satu mazhab sehingga seluruh undang-undang negeri merekodkan penggunaan mazhab Syafie sebagai mazhab resmi kecuali negeri Perlis.

Ketika mana negeri-negeri di Malaysia mengamalkan undang-undang Islam secara menyeluruh, mazhab Syafie diamalkan dibidang perundangan kekeluargan dan jenayah.
Namun demikian penganalan Islam masakini telah meliputi sektor yang tidak pernah diceburi sebelum ini.

Para sarjana Islam terlibat dalam membina sistem Takaful yang diambil dri sistem Insyuran. Pengamalan perbankan Islam juga semakin meluas. Banyak isu-isu baru yang perlu ditangani oleh para sarjana dalam menelesaikan permasaalahan perbankan Islam.

Selain itu sistem pewasiatan juga dimodenkan, kerajaan telah memberi peluang kepada syaraikat-syarikat pengurusan hata pusaka untuk beroperasi. Berbagai permasaalahan baru sentiasa dihadapi dari semasa kesemasa.

Dalam bidang zakat, banyak ijtihad-ijtihad baru diperlukan akibat perkembangan teknologi dan kehidupan masyarakat moden. Banyak hukum hakam yang selama ini diamalkan mengikut mazhab Syafie telah dirasakan tidak dapat memenuhi tuntutan kehidupan semasa. Mengeluarkan zakat fitrah dengan menggunakan makanan dirasakan tidak lagi releven dalam dunia moden. Tindakan terebut akan membawa banyak keburukan terhadap pengutipan dan pegagihan zakat.

Selain dari peluasan pengamalan Islam, salah satu cabaran semasa ialah cita-cita negara untuk bangkit sebagai peneraju bagi pengurusan produk halal. Satu kekosongan yang begitu besar dan mencabar perlu diharungi oleh para sarjana Islam tempatan. Ini kerana persoalan halal melibatkan masyarakat antarabangsa. Segala pengakuan halal atau sebaliknya mestilah mengambil kira kefahaman dan pengamalan yang berifat global.

Salah satu situasi penting yang mencorakkan pemikiran dan isu mazhab di Malaysia ialah sumber ilmu yang berbagai. Jika dahulu kebanyakan sarjana agama mendapat pendidikan didalam negeri atau di Mesir serta India. Namun demikian, suasan semasa menyaksikan kepelbagaian sumber. Keadaan ini wujud apabila terbukanya peluang melanjutkan pengajian dibidang Pengajian Islam di banyak negara didunia. Selain universiti-universiti negara Arab seperti Mesir, Jordan, Yaman, Maghribi dan lain-lain, ramai juga para sarjana yang melanjutkan pelajaran kenegara-negara barat seperti Uninted Kindom dan Amerika.

Selain daripada faktor yang telah diterangkan, perkembangan teknologi juga memberi kesan yang mendalam terhadap pemikiran bertaqlid dan bermazhab dalam masyarakat Malaysia. Dalam bidang ibadat masyarkat Islam tradisional menggunakan teknik melihat anak bulan sebagai cara mengetahui masuk bulan Ramadan dan Syawal, namun demikian, perkembangan ilmu astronomi dan rekaan alat berteknologi canggih telah menghasilkan pengetahuan yang lebih tepat.

Ilmu falak syarie tidak ketinggalan daripada mengalami perubahan. Para ilmuan menganggap kiraan falak adalah tepat dan melihat anak bulan merupakan kaedah sampingan yang kurang penting. Perubahan ini merupakan ijtihad yang terkeluar dari taqlid mazhab yang diamalkan selama ini. Walaupun begitu, perubahan yang dilakukan adalah secara berhati-hati supaya tidak menimbulkan keraguan dan kekeliruan kepada masyarakat umum.


Faktor Budaya Berpegang Dengan Mazhab

Secara umumnya masyarakat umum Malaysia masih belum memahami secara terperinci mengenai hukum taqlid dan mazhab. Rata-rata masyarakat umum menganggap hukum Islam adalah satu dan tidak ada pendapat lain yang boleh bercanggah dengannya. Kefahaman ini timbul kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang dibawa oleh seorang nabi dan disana hanya ada satu quran. Kebenaran pada mereka adalah satu. Kebanyakan ahli masyarakat juga berpendapat bahawa hukum Islam tidak boleh berubah sama sekali.

Bagi golongan berpelajaran pula ramai yang berpendapat bahawa mereka wajib mengikuti mazhab Syafie. Pendapat ini dipegang secara meluas dalam golongan berpendidikan agama disebabkan kata-kata Imam Nawawi yang memuji Mazhab Syafie.

Hujah Nawawi tentang kelebihan mazhab Syafie:

"Dan oleh kerana Imam al-Shafie adalah merupakan imam yang terkemudian dari sudut masa, maka beliau telah melihat mazhab-mazhab mereka seperti mana mereka melihat mazhab-mazhab ulama’ sebelum mereka. Maka beliau menperhalusinya, mengujinya dan mengkritiknya dan memilih yang paling rajih (kuat) dan beliau mendapat hasil daripada usaha ulama’2 sebelum beliau yang telah meletakkan gambaran dan pengasasan, maka beliau telah meluangkan masa untuk memilih dan mentarjih dan menyempurnakan dan meminda, dengan pengetahuan beliau dan kebijaksanaan beliau dalam pelbagai bidang ilmu. Dan dengan perkara ini beliau mendapat kedudukan yang lebih kuat dan rajih, kemudian tidak ada selepas beliau, (alim) yang mencapai kedudukan seperti beliau dalam perkara ini. Maka dengan ini, mazhab beliau adalah mazhab yang paling utama untuk diikuti dan bertaqlid dengannya – dan ini dengan jelasnya bahawa kita mestilah berlaku adil dan tidak ada meletakkan sebarang sikap memandang rendah pada salah seorang daripada para imam. Hal ini, apabila diteliti oleh si awam akan memandunya kepada memilih mazhab Imam al-Shafie dan bermazhab dengannya."

Selain dari memuji Mazab Syafie, Nawawi juga berpendapat adalah wajib mengikut salah satu mazhab empat dan haram berpindah-pindah mazhab ataupun talfiq:

"Dan tidak boleh bagi si awam itu bermazhab dengan mazhab salah seorang daripada imam-imam di kalangan para sahabat r.anhum dan selain daripada mereka daripada generasi-generasi yang terawal, walaupun mereka lebih alim dan lebih tinggi darjatnya berbanding dengan (ulama’) selepas mereka; ini adalah kerena mereka tidak meluangkan masa sepenuhnya untuk mengarang ilmu dan meletakkan prinsip-prinsip asas dan furu’nya. Maka tidak ada bagi salah seorang daripada mereka sebuah mazhab yang telah dihalusi, dianalisis dan diperakui. Hanyasanya, (ulama’2) yang datang selepas mereka yang merupakan pendokong mazhab para sahabat dan tabien lah yang melakukan usaha meletakkan hukum-hukum sebelum berlakunya perkara tersebut; yang bangkit menerangkan prinsip-prinsip asas dan furu’ mereka seperti (Imam) Malik dan (Imam) Abu Hanifah dan selain dari mereka berdua." Kitab Majmuk Nawawi.

Pendapat ini amat dipegang oleh para ulamak tradisional di Malaysia. Antara faktor yang membuatkan sebahagian ulamak masih berpegang teguh dengan perinsip ini ialah kurangnya pendedahan terhadp isu –isu semasa.

Orang-orang yang tidak terlibat dalam industri perbankan misalnya akan merasakan tidak ada halangan untuk mereka mengupas hukum hakam berdasarkan beberapa buah kitab rujukan sahaja.

Kupasan agama yang berkisar dalam peroalan ibadat sahaja tidak akan menampakkan tuntutan untuk meneroka pendapat-pendapat ulamak dunia semasa. Ini kerana sifat ibadat adalah tetap dan tidak banyak perubahan pendapat yang diperlukan dalam bidang tersebut.

Situasi sekeliling juga memberi kesan terhadap pemikiran bermazhab. Di kawasan perkampungan dan negeri-negeri Pantai Timur, masyarakat Melayu merupakan mejoriti dan kaum-kaum lain adalah amat sedikit bilangannya. Akibat kurangnya perhubungan dengan masyarakat Islam lain, maka pengamalan agama yang diamalkan adalah merupakan warian nenek moyang sahaja dan tiada pengamalan asing yang dilihat oleh masyarakat.

Kesimpulan dan Penutup

Setelah melihat kepada faktor-faktor itu tadi, dapat disimpulkan bahawa pengamalan mazhab dan taqlid di Malaysia masih berlaku dengan berleluasa tetapi kebanyakannya diamalkan oleh golongan masyarakat berikut:
1- Masyarakat awam yang tidak mempunyai pengetahuan agama yang mendalam.
2- Penduduk kawasan yang tidak terdedah dengan keadaan berbilang bangsa dan keturunan.
3- Ahli-ahli agama yang kurang terlibat dalam menyelesaikan isu-isu semasa.

Golongan ini mempunyai pandangan wajib berpegang dengan satu mazhab dan haram meninggalkan mazhab atau melakukan talfiq. Mereka walaubagaimanapun akan menerima hukum-hakam yang telah diketahui umum walaupun bukan dari mazhab Syafie kerana kebiasaan pengamalan masyarakat seperti mengadakan tahlil bagi menghadiahkannya kepada orang yang telah mati.

Fenomena menggunakan pendapat selain mazhab Syafie berlaku dalam bidang muamalah contohnya pengharusan kontrak tempahan yang dibolehkan oleh ulamak Hanafi. Keadaan ini tidak dianggap oleh masyarakat sebagai ancaman kepada pegangan satu mazhab kerana isu-isu muamalat tidak mendapat pendedahan yang meluas dalam masyarakat. Masyarakat hanya bertindak menerima sahaja pendapat yang tersebar dan menganggapnya sebagai satu yang datang dari mazhab Syafie.




Rujukan:

1- Usul al Fiqh al Islami. Wahbah al Zuhaili, Dar al Fikri 1998.
2- Sistem Kewangan Islam dan Perlaksanaannya di Malaysia. AB. Mumin b. AB Ghani, JAKIM 1999.
3- Mauqiful Islam Min al Bunuk. Ramada Hafiz, Dar al Salam 2005.
4- Sejarah Perkembangan Hadis. Rosli Mokhtar, Jahabersa 2008.
5- Pengaruh Fiqh Syafie Dalam Pemikiran Masyarakat Melayu di Malaysia.Oleh : Prof. Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady, (k.k) UKM. 2007.
6- Tarikh al Fiqh al Islami Wa Adwaruhu. Dar adwa’ Bairut.
7- Sejarah Perkembangan Mazhab Shafi‘i Di Malaysia Dan Pengaruhnya Dalam Sistem Pendidikan Pondok. Rosdi Yusof & Dr. Hasanah Abd Khafidz (k.k) UKM.2007.
8- Tajdid al Fiqh. Ahmad al Raisuni, Darul Fikri,2001.
9- Antara al-Syafi‘i dan al-Syafi‘iyyah: Mazhab Syafi‘i atau Nawawi. Amir Fazlim Yusoff (k.k) UKM 2007.
10- http://www.islam4u.com/almojib_show.php?rid=503
11- http://mdarik.islamonline.net/Multimedia/PDF/23-03-09/renewal/03.pdf

Disediakan:
http://benmokhtar.blogspot.com

Nafsu dalam Fatwa

Posted by Buletin Syariah Rabu, 8 Julai 2009, under | 0 ulasan |

Dr Ali Jumuah memberi komen dalam temuramah dengan beliau tentang kekalutan fatwa sepontan yang dikeluarkan dalam siaran TV. Beliau menegur para penceramah, ustaz, motivator dan orang yang bercakap dengan nama agama agar tidak terburu-buru memberi penyelesaian dalam soalan-soalan yang diajukan tanpa mengkaji terlebih dahulu apa yang dicakapkan.

Menurut beliau, salah satu punca kecelaruan yang timbul ialah apabila orangyang tidak menguasai sesuatu bidang atau bukan dalam bidang tersebut mahu bercakap dan menyelesaikan sesuatu pertanyaan. Nafsu ini menyebabkan mereka tersilap dalam memberi pandangan dan penyelesaian. Beliau menyifatkan orang-orang seperti ini sebagai ahli sihir yang boleh mendatangkan keajaiban dengan sekelip mata.

Salah satu faktor kecelaruan fatwa juga ialah sikap masyarakat yang terlalu jahil. Kejahilan mereka itu membuatkan mereka menyangka sesiapa yang menjawab soalan mereka dengan perkataan 'saya tidak tahu' maka di bukan orang alim. Situasi ini menyebabkan para penceramah takut dianggap jahil jika mengaku tidak tahu apabila ditanya degan sesuatu persoalan.

'Ramai pula orang-orang yang bukan bidang agama apabila disoal dengan soaln agama maka mereka cuba menjawabnya. Sepatutnya mereka berkata:pergilah bertanya pada ulamak' ujar Ali Jumuah lagi.

Selain itu punca kecelaruan juga timbul daripada sifat media sekarang yang inginkan kupasan mendatar dan santai tentang sesuatu polemik. Kedaan ini menyebabkan sesuatu polemik tidak dapat dihurai dengan ilmiah, jika ianya sekadar tazkirah atau nasihat sahaja maka tidak mengapa, tapi jika ianya fatwa atau keputusan hukum-hakam maka ianya perlu diulas secara mendalam.

Salah satu faktor kecelaruan fatwa juga ialah kezaliman pemerintah. Apabila rakyat berhadapan dengan kezaliman pemerintah, maka mereka menjadikan orang-orang agama sebagai tempat berlindung, mereka cuba menjadikan orang-orang agama ini sebagai alat mereka untuk berhadapan dengan pemimpin yang mereka benci, dengan itu mereka cuba mempengaruhi pandangan dan pemikiran guru mereka agar dapat menghukum pemimpin tersebut.

Itulah beberapa point yang dapat saya petik daripada temuramah yang telah dijalankan dengan

Mufti Mesir Dr Ali Jumuah
dipetik dari benmokhtar.blogspot.com

Motivasi Pelajar

Posted by Buletin Syariah Selasa, 2 Jun 2009, under | 0 ulasan |

Kita masih lagi berada di minggu-minggu terawal pengajian. Kebiasaanya dalam keadaan begini motivasi pelajar dan pensyarah menjulang tinggi. Maklumlah telah sekian lama bercuti. Semangat untuk memulakan kembali kelas berkobar-kobar.

Keadaan ini perlu diambil peluang sepenuhnya kerana sememangnya belajar memerlukan semangat dan minat. Kali ini saya ingin menekankan kepada perancangan dan pengurusan. Ditengah-tengah semangat yang menjulang tinggi, ada baiknya pelajar duduk seketika untuk mengatur strategi pembelajaran.

Perancangan pembelajaran yang betul akan membawa pelajar mendaki anak tangga kejayaan dengan lebih baik. Ini kerana kerja yang tidak terancang akan membawa padah kehilangan masa dan tenaga yang amat berharga.

Antara perkara yang perlu diberikan perhatian dalam mengatur strategi belajar ialah:

1- Penggunaan masa yang efektif.
Sejauh mana anda boleh menjimatkan masa dari bocor ketempat yang tidak bermanafaat, maka selagi itulah kehidupan anda akan lebih bermakna. Terlalu ramai pelajar yang menghabiskan masa 24 jam yang dikurnikan Allah dengan berborak kosong, tidur berlebihan, berhibur dan sebagainya.

2-Mengasah kemahiran bahasa.
Bahasa adalah ibarat anak kunci. Jika anda memiliki kereta yang hebat tetapi tidak memiliki kuncinya, maka hakikatnya anda tidak memilikinya. Kebanyakan pelajar bukan malas mengulangkaji tetapi mereka amat tidak selesa dengan nota yang tidak dapat dibaca dan difahami dengan baik. Selagimana masaalah ini tidak diselesaikan maka anda akan menggalas segala masaalah setiap semesta dan setiap tahun.

3-Cintailah ilmu.
Ilmu tidak akan bersama dengan orang yang tidak mencintainya. Ini kerana ilmu menuntut dari pencintanya pengorbanan. Pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit semuanya menjadi mahar bagi mendapatkan ilmu. Belajarlah ntuk berkorban demi ilmu maka ilmu akan memberikan anda sesuatu yang amat bernilai iaitu kepuasan.

Selamat Datang Pelajar KUIS

Posted by Buletin Syariah Jumaat, 22 Mei 2009, under | 0 ulasan |

Bermula dari minggu lepas KUIS memulakan sesi baru pengajian. Pendaftaran lepas menyaksikan KUIS menerima sejumlah pelajar baru. 25/5/09 ini pula kita akan menerima pelajar panggilan kedua. Selamat datang kita ucapkan kepada warga baru KUIS, tidak lupa juga ucapan selamat datang itu ditujukan kepada pelajar sedia ada.

Seluruh pensyarah Jabatan Syariah mengalu-alukan kedatang pelajar semua. Diharapkan sesi baru ini akan berjalan dengan penuh semangat. Pencarian ilmu di KUIS diharap memberikan kepada pelajar semua mutiara ilmu yang akan menyinari kehidupan anda. Kami sedia mencurahkan apa yang ada demi bersama membina jenerasi masa depan yang akan membangunkan agama bangsa dan negara.

Semoga harapan yang menggunung ini akan tetap subur dan sentiasa diberikan keberkatan oleh Allah. Amin Ya Rabbal Alamin.


Info- Hukum Insuran Konvensional

Posted by Buletin Syariah Sabtu, 11 April 2009, under | 0 ulasan |

Pendirian Ulamak semasa berkaitan insuran konvensional.

  • Muktamar Agung Berkenaan Ekonomi Islam bersidang kali Pertama tahun 1976 M di Mekah memutuskan insuran jenis perniagaan (konvensional) adalah haram. Sebab utamanya adalah terdapat unsur riba dan gharar.
  • Majlis Kesatuan Ulama’ Besar bermesyuarat pada tahun 1977, di Arab Saudi. memutuskan : Insuran jenis Perniagaan adalah Haram.
  • Majma’ al-Fiqh al-Islami al-’Alami (Kesatuan Ulama Fiqh Dunia) bersidang pada tahun 1979 M di Mekah al-Mukarramah, Kebanyakan Ulamak memutuskan: Insuran Jenis Perniagaan haram samada ke atas barangan perniagaan , nyawa dan lain-lain daripada jenis harta.
  • Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia (Majma’ al-Fiqh al-Islami) sekali lagi bersidang pada 28 Disember 1985 di Jeddah, juga memutuskan sekali lagi pengharaman Insuran Jenis Perniagaan.


Disediakan oleh: Muhidin

Info – Pengharaman Rokok

Posted by Buletin Syariah , under | 0 ulasan |



Merokok di kalangan masyarakat melayu Islam masih berleluasa. Ramai pihak memperkatakan tentang hukumnya, tetapi masih tidak dihiraukan sehingga ada yang menggelar segelintir perokok sebagai lembu yang tidak ada fikiran. Pihak berkuasa perlu lebih serius dalam menangani isu ini. Renungkanlah fakta berikut;

  • Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya hukumnya adalah haram kerana daripadanya terdapat kemudaratan.
  • Ulama-ulama semasa seperti Dr Abdul Jalil Shalabi mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.
  • Dr Zakaria Al Bari (anggota Akademi Kajian Islam dan Anggota Lujnah Fatwa Al-Azhar) menyatakan merokok hukumnya haram atau makruh adalah pendapat yang kuat.
  • Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.
  • Syeikh Hasanain Makhluf iaitu bekas Mufti Kerajaan Mesir telah menetapkan merokok adalah haram jika mendatangkan mafsadah kesihatan dan mengurangkan hak keluarga dari segi pengurangan nafkah kepada keluarganya. Makruh jika mafsadat itu tidak ketara atau tidak mengurangkan hak nafkah keluarga.
  • Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam.
  • Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.
  • Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa menanam tembakau atau merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah haram.
  • Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berpegang kepada fatwa merokok adalah haram walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan bahawa perbuatan merokok boleh mendatangkan mudarat.
  • Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga telah bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram.


Diseduakan oleh: Muhidin

Keutamaan Ketaatan Isteri

Posted by Buletin Syariah Khamis, 9 April 2009, under | 0 ulasan |

Memilih antara kehendak suami dan kehendak ibubapa merupakan dilema yang sering dialami oleh kaum wanita yang telah berkahwin. Apakah sebenarnya pandangan Islam dalam perkara ini ?

Apabila seorang wanita telah berkahwin, maka suaminya lebih berhak terhadap dirinya daripada kedua ibubapanya. Memenuhi kehendak suami selama ia tidak bercanggah dengan syara' adalah lebih utama daripada kedua Ibubapanya. Berbeza dengan suami, baginya, ibubapa adalah lebih utama dari isterinya sendiri. Namun dalam pelaksanaan, suami isteri hendaklah bertolak ansur khususnya dalam perkara yang berkaitan hubungan sosial, walaupun hukum syara'nya jelas, suami mestilah ditaati, apabila berkalu pertembungan kepentingan yang melibatkan kepentinagn kedua-dua pihak, lihatlah kepada kemaslahatan kedua-dua pihak agar kehidupan keluarga sentiasa harmoni.


Hukum asal ini berdasarkan dalil-dalil berikut;

Firman Allah swt;

فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللهُ

“Maka wanita yang shalihah adalah wanita yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dengan apa yang Allah telah memelihara mereka…” (An-Nisa’: 34)


Rasulullah saw bersabda;

الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِهَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ، إِذَا نَظَرْتَ إِلَيْهَا سَرَّتْكَ، وَإِذَا أَمَرْتَهَا أَطَاعَتْكَ، وَإِذَا غِبْتَ عَنْهَا حَفِظَتْكَ فِي نَفْسِهَا وَمَالِكَ

“Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasannya adalah wanita yang solihah. Bila engkau memandangnya, ia menggembirakan (menyenangkan)mu. Bila engkau menyuruh, ia metaatimu. Dan bila engkau pergi, ia menjaga dirinya (untukmu) dan menjaga hartamu.”


Dalam Sohih Ibnu Abi Hatim dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah saw bersabda:


إِذَا صَلَتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ

“Apabila seorang wanita mengerjakan sembahyang lima waktunya, mengerjakan puasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya, maka ia akan masuk surga dari pintu mana saja yang ia inginkan.”

Dalam Sunan Al-Tirmizi dari Ummu Salamah, ia berkata, Rasulullah saw bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا رَاضٍ عَنْهَا دَخَلَتِ الْجَنَّةَ

“Mana-mana isteri yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya nescaya ia akan masuk syurga.”


Dari Abu Hurairah dari Nabi saw, beliau bersabda:


لَوْ كُنْتُ آمِرًا لِأَحَدٍ أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا

“Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada orang lain nescaya aku akan memerintahkan seorang isteri untuk sujud kepada suaminya.”

Dalam Al-Musnad dari Anas ra bahwasanya Nabi saw bersabda:


لاَ يَصْلُحُ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ، وَلَوْ صَلَحَ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا مِنْ عِظَمِ حَقِّهِ عَلَيْهَا، وَاَّلذِي نَفْسِيْ بِيَدِهِ لَوْ كَانَ مِنْ قَدَمِهِ إِلَى مَفْرَقِ رَأْسِهِ قَرْحَةً تَجْرِي بِالْقَيْحِ وَالصَّدِيْدِ، ثُمَّ اسْتَقْبَلَتْهُ فَلحسَتْهُ مَا أَدّّتْ حَقَّهُ

“Tidaklah layak bagi seorang manusia untuk sujud kepada manusia yang lain. Seandainya boleh bagi seseorang untuk sujud kepada seorang yang lain nescaya aku perintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya disebabkan besarnya hak suaminya terhadapnya. Demi Zat yang jiwaku berada di tangannya, seandainya pada telapak kaki sampai belahan rambut suaminya ada kudis yang bernanah bercampur darah, kemudian si isteri menghadap suaminya lalu menjilat kudis tersebut niscaya ia belum sempurna menunaikan hak suaminya.

Dalam Al-Musnad dan Sunan Ibni Majah, dari Aisyah dari Nabi saw, beliau bersabda:


لَوْ أَمَرْتُ أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا، وَلَوْ أَنَّ رَجُلاً أَمَرَ امْرَأَتَهُ أَنْ تَنْقُلَ مِنْ جَبَلٍ أَحْمَرَ إِلَى جَبَلٍ أَسْوَدَ، وَمِنْ جَبَلٍ أَسْوَدَ إِلَى جَبَلٍ أَحْمَرَ لَكاَنَ لَهَا أَنْ تَفْعَلَ

Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada seorang yang lain nescaya aku akan memerintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya. Seandainya seorang suami memerintahkan isterinya untuk pindah dari gunung merah menuju gunung hitam dan dari gunung hitam menuju gunung merah maka isteri harus melakukannya.


Demikian pula dalam Al-Musnad, Sunan Ibni Majah, dan Sohih Ibni Hibban dari Abdullah ibnu Abi Aufa ra, ia berkata:


لمَاَّ قَدِمَ مُعَاذٌ مِنَ الشَّام ِسَجَدَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ: مَا هذَا يَا مُعَاذُ؟ قَالَ: أَتَيْتُ الشَّامَ فَوَجَدْتُهُمْ يَسْجُدُوْنَ لِأَسَاقِفَتِهِمْ وَبَطَارِقَتِهِمْ، فَوَدِدْتُ فِي نَفْسِي أَنْ تَفْعَلَ ذَلِكَ بِكَ يَا رَسُوْلَ اللهِ .فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: لاَ تَفْعَلُوا ذَلِكَ، فَإِنِّي لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِغَيْرِ اللهِ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا، وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لاَ تُؤَدِّي الْمَرْأَةُ حَقَّ رَبِّهَا حَتَّى تُؤَدِّيَ حَقَّ زَوْجِهَا، وَلَوْ سَأََلَهَا نَفْسَهَا وَهِيَ عَلَى قَتَبٍ لَمْ تَمْنَعْهُ

Tatkala Mu’az tiba dari Syam, ia sujud kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, maka beliau menegur Mu’az, “Apa yang kau lakukan ini, wahai Mu’az?” Mu’az menjawab, “Aku pergi ke Syam, aku dapati mereka (penduduknya) sujud kepada pemimpin mereka. Maka aku ingin dalam hatiku untuk melakukannya kepadamu, wahai Rasulullah.” Rasulullah saw bersabda, “Jangan engkau lakukan hal itu, kerana sungguh andai aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada selain Allah nescaya aku perintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, seorang isteri tidaklah menunaikan hak Tuhannya sehingga ia menunaikan hak suaminya. Seandainya suaminya meminta dirinya dalam keadaan ia berada di atas pelana maka ia tidak boleh menolaknya.”


Dari Thalaq bin Ali, ia berkata, Rasulullah saw bersabda:

أَيُّمَا رَجُلٍ دَعَا زَوْجَتَهُ لِحَاجَتِهِ فَلْتَأْتِهِ وَلَوْ كَانَتْ عَلَى التَّنُّوْرِ

“ Mana-mana suami yang memanggil isterinya untuk memenuhi hajatnya maka isteri wajib mendatanginya (memenuhi panggilannya) walaupun ia sedang memanggang roti di atas tungku api.”

Disediakan oleh: Muhidin

Hukum Ghibah

Posted by Buletin Syariah , under | 0 ulasan |

Ghibah yang Diharuskan

Ghibah adalah salah satu perbuatan yang dilarang dalam Islam. Ghibah boleh mencerai-beraikan ikatan kasih sayang dan ukhuwah sesama manusia. Seseorang yang berbuat ghibah bererti dia telah menyemai kedengkian dan kejahatan dalam masyarakat. Namun ada beberapa keadaan seseorang diperbolehkan untuk menyebut keburukan orang lain

Definisi Ghibah

Definisi ghibah dapat kita lihat dalam hadits Rasulullah SAW berikut ini:
“Ghibah ialah engkau menceritakan tentang saudaramu sesuatu yang ia benci.” Lalu Rasulullah ditanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu bila apa yang diceritakan itu benar ada padanya ?”
Rasulullah SAW menjawab, “Kalau memang benar ada padanya, itu ghibah namanya. Jika tidak benar, bererti engkau telah berbuat tuduhan terhadapnya” Hadis diriwayatkan. Muslim, Tirmidzi, Abu Dawud, dan Ahmad.

Bentuk-Bentuk Ghibah yang Diharuskan

Imam Nawawi dalam kitab Syarah Shahih Muslim dan Riyadhu As-Shalihin, menyatakan bahwa ghibah hanya diharuskan untuk tujuan syara’ yaitu yang disebabkan oleh enam keadaan, iaitu:

1. Orang yang mazlum (teraniaya) boleh menceritakan dan mengadukan kezaliman orang yang menzaliminya kepada seorang penguasa atau hakim atau kepada orang yang berhak memutuskan suatu perkara dalam rusaha menuntut haknya. Hal ini dijelaskan dalam Al-Qur’an surat An-Nisa ayat 148:

“Allah tidak menyukai ucapan buruk dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (QS. An-Nisa’ : 148).

Tetapi walaupun kita harus mengghibah orang yang menzalimi kita, pemberian maaf atau menyembunyikan suatu keburukan adalah lebih baik. Sebagaimana disebutkan dalam Surat An-Nisa' ayat 149:

“Jika kamu menyatakan kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.” (QS. An-Nisa: 149)

2. Meminta bantuan untuk menyingkirkan kemungkaran dan agar orang yang berbuat maksiat kembali ke jalan yang benar.

Pembolehan ini adalah untuk mencegah kemungkaran dan mengembalikan orang yang bermaksiat ke jalan yang benar. Selain itu, ia juga merupakan kewajipan manusia untuk beramar ma’ruf nahi munkar. Setiap muslim hendaklah saling bahu-membahu menegakkan kebenaran dan meluruskan jalan orang-orang yang menyimpang dari hukum-hukum Allah.

3. Istifta’ (meminta fatwa) berkaitan sesuatu masalah.
Walaupun kita diperbolehkan menceritakan keburukan seseorang untuk meminta fatwa, untuk lebih berhati-hati, ada baiknya kita hanya menyebutkan keburukan orang lain sesuai yang ingin kita adukan, tidak lebih daripada itu.

4. Memperingatkan kaum muslimin dari beberapa kejahatan seperti apabila ada perawi, saksi, atau pengarang yang cacat sifat atau kelakuannya, menurut ijma’ ulama kita boleh bahkan wajib memberitahukannya kepada kaum muslimin. Ia dilakukan untuk memelihara kebersihan syariat. Ghibah dengan tujuan seperti ini jelas haruskan, bahkan diwajibkan untuk menjaga kesucian hadits. Apalagi hadits merupakan sumber hukum kedua bagi kaum muslimin setelah Al-Qur’an.

5. Menceritakan kepada khalayak tentang seseorang yang berbuat fasik atau bid’ah seperti, minum-minuman keras, merampas harta orang secara paksa. Ketika menceritakan keburukan itu kita tidak boleh menambah-nambaha dan sepanjang niat melakukan hal itu hanya untuk kebaikan agar menghindari pergaulan dengan orang tersebut. Kerana bergaul dengan orang fasik atau pun ahli bid’ah boleh membahayakan agama kita.

6. Bila seseorang telah dikenal dengan julukan si pincang, si pendek, si bisu, si buta, atau sebagainya, maka kita boleh memanggilnya dengan gelaran di atas agar orang lain boleh memahami. Tetapi jika tujuannya untuk menghina, maka haram hukumnya. Jika ia mempunyai nama lain yang lebih baik, maka lebih baik memanggilnya dengan nama lain tersebut.

Wallahu a’lam

Disediakan oleh: Muhidin

Dipetik dari :Syarah Shahih Muslim

Info - Kemasukan Pelajar Sesi Mei 2009/2010

Posted by Buletin Syariah , under | 0 ulasan |

Untuk makluman para pengunjung laman blog ini, sesi kemasukan pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor akan bermula pada bulan Mei 2009.

Permohonan untuk kemasukan telah dibuka. Berbagai program pengajian disediakan samada di peringkat sijil, diploma, sarjana muda dan sarjana disediakan.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web rasmi KUIS di www.kuis.edu.my atau hubungi

talian 03-89254251.

Jabatan Syariah mengalu-alukan penyertaan para pelajar sebagai warga KUIS.

KUIS ; PEMANGKIN TRADISI ILMU


disediakan oleh: Muhidin

Info - Hari Keluarga Akademi Islam

Posted by Buletin Syariah , under | 0 ulasan |


Jabatan Syariah sebagai salah satu jabatan di bawah naungan Akademik Islam KUIS mengucapkan syabas dan tahniah kepada Lajnah Khairiyyah yang telah berusaha keras untuk menjayakan Hari Keluarga AI pada 18-19 April 2009 di D' Village Resort Air Keroh Melaka.

Justeru, diharapkan kepada semua kakitangan Jabatan Syariah tidak terkecuali untuk bersama-sama menjayakan program tersebut.

"Ukhuwwah Islamiah pemangkin kecemerlangan kerja berpasukan"

disediakan oleh: Muhidin

Info Zakat Pendapatan

Posted by Buletin Syariah , under | 0 ulasan |

Zakat Pendapatan.


Pendapatan bermaksud perolehan yang merangkumi pendapatan gaji dan pendapatan bebas seperti pendapatan ahli profesional.

Pengertian gaji ialah pendapatan pengajian seseorang yang merupakan ganjaran perkhidmatannya dengan sesuatu majikan atau orang perseorangan atau syarikat atau institusi. Contoh: Gaji tahunan, Tunggakan gaji, Pelbagai elaun (kenderaan, makan, mesyuarat), Lain-lain (termasuk bonus atau sesuatu yang boleh dikira sebagai pendapatan yang berkaitan dengan penggajian.


Pendapatan bebas ialah pendapatan seseorang melalui sesuatu kerja atau usaha kepakaran atau perkhidmatan yang merupakan ganjaran daripada khidmatnya. Contoh:, Khidmat guaman, Khidmat nasihat, Juru perunding, Rawatan perubatan


SYARAT WAJIB ZAKAT

1.Islam.

2.Merdeka.

3.Sempurna Milik.

4.Hasil usaha yang baik sebagai sumber zakat.
Hasil usaha tersebut termasuklah pendapatan dan pengajian yang merangkumi upah, gaji, bonus, elaun, komisen, pemberian, ganjaran profesional, hasil sewaan, perkhidmatan dan sebagainya. Pendapat para fuqaha' menyebutkan semua hal berkenaan pendapatan dan penggajian disebut sebagai 'mal mustafad' iaitu perolehan baru yang termasuk dalam takrifan sumber harta yang dikenakan zakat.

5.Cukup nisab.
Nisab bagi zakat pendapatan adalah berasaskan kepada nilai 85 gram emas harga semasa, memandangkan pendapatan biasanya diterima dalam bentuk mata wang yang disandarkan kepada emas

6.Cukup haul.
Jangka masa setahun adalah jarak untuk mempersatukan semua hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatannya. Dalam hal ini, apa yang lebih penting ialah seharusnya zakat pendapatan ini dilihat dari segi persoalan harta perolehan atau penghasilan dan bukannya harta wang simpanan ini bersesuaian dengan tuntutan dan roh Islam terhadap kewajipan berzakat.


KAEDAH PENGIRAAN ZAKAT

Terdapat 3 garis panduan mengira zakat pendapatan

KAEDAH 1

2.5 % atas jumlah pendapatan kasar setahun (jika pendapatan tersebut melebihi nisab)

CONTOH:

Jika jumlah kasar dari sumber setahun ialah sebanyak RM33,800.00, maka zakatnya sebanyak RM33,800.00 x 2.5 % = RM845.00

KAEDAH 2

Membayar zakat setelah menolak perbelanjaan-perbelanjaan asas yang dibenakan (berlandaskan kaedah penolakan yang dibenarkan

KAEDAH 3

Membayar zakat setelah mengambil kira tanggungan sebenar.


Disediakan oleh: Muhidin

Sumber: Lembaga Zakat Selangor.

Salam Perkenalan

Posted by Buletin Syariah Rabu, 1 April 2009, under | 0 ulasan |

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Pihak Pengurusan Jabatan Syariah, Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor mengucapkan selamat datang kepada semua pengunjung laman blog ini. Laman blog ini disediakan bagi memaparkan isu-isu dan hukum-hakam berkaitan kehidupan seharian berlandaskan syariat Islam. Ia juga merupakan satu sahutan cabaran semasa keperluan dakwah melalui internet.

Harapan kami semuga blog ini menjadi medium antara kami dan para pelawat untuk berinteraksi dan memahami lebih mendalam berkaitan hukum-hukam Islam. Pihak kami juga bersedia untuk menjawab masalah-masalah berkaitan hukum syara' dalam mana-mana bidang syariah samada berkaitan fiqh ibadah, munakahat dan kekeluargaan, muamalat dan permasalahan yang lain.

Salam hormat dari kami;

Pengurusan Jabatan Syariah
Akademi Pengajian Islam
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)